Masyarakat Berteraskan Al-Quran;
Cabaran Masa Kini Dan Peluang Masa Hadapan
Oleh: Ustaz Yazid Muhamad Salleh M.A.
Pegawai Eksekutif Dakwah (SIL)
Masjid Alkaff Kg Melayu
Pendahuluan
1 Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Kahfi, ayat 1:
“الحَمْدُ للهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا”
Yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah s.w.t. yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)”
2 Ayat ini, berserta banyak lagi ayat-ayat yang sepertinya bertujuan meyakinkan kita – para pembaca – bahawa al-Quran ini tidaklah sama seperti kitab-kitab yang lain. Ia terselamat dari segala kesalahan ataupun kekurangan, maka ianya kitab yang istimewa.
3 Secara umum, Al-Quran adalah istimewa kerana ia adalah wahyu Pencipta alam semesta, yang telah diturunkan ke atas insan yang terisitimewa, di tempat yang istimewa, pada bulan yang istimewa, pada malam yang istimewa dan untuk ummat yang teristimewa; khairah ummah. Keistimewaan ini juga merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti: sejarah, pengkhabaran masa hadapan, perundangan, peraturan kekeluargaan, kemasyarakatan, pemikiran, perubatan, sains, seni bahasa, seni bacaan, inspirasi, motivasi dan lain-lain aspek yang berkait dengan kehidupan manusia.
4 Walaupun terdapat banyak aspek keistimewaan yang ada dalam Al-Quran, namun -hingga ke hari ini- aspek yang sering diketengahkan oleh golongan asatizah untuk masyarakat adalah aspek perundangan atau aspek hukum. Mungkin ini adalah kerana kepentingan membina individu yang hidup berlandaskan hukum-hakam ketetapan Tuhan, oleh itu dititikberatkan aspek perundangan dan hukum dalam kebanyakkan pengajian Al-Quran. Masyarakat perlu dipimpin dan diberi panduan dari sudut hukum-hakam agar hidup mereka teratur dan tersusun, masyarakat hari ini lebih faham akan konsep dan latarbelakang sebuah ayat yang menjelaskan hukum-hakam Islam.
5 Dengan kemajuan dari sudut sains perubatan dan teknologi, kedengaran dewasa ini keistimewaan Al-Quran diketengahkan pula dari sudut sains perubatan dan teknologi, seperti yang dipelopori Harun Yahya dalam banyak tulisannya. Golongan generasi muda terutamanya amat tertarik dengan pendekatan ini, dengan mengetengahkan keisitimewaan Al-Quran dari sudut sains perubatan dan teknologi, mereka merasakan Al-Quran itu hampir dengan kehidupan mereka yang serba canggih dan releven.
6 Namun banyak lagi aspek-aspek keistimewaan Al-Quran yang masih lagi belum disentuh atau diketengahkan. Bagaimanakah caranya untuk kita menengahkan aspek-aspek yang lain yang tidak dinafikan kepentingannya, agar masyarakat kita benar-benar menghayati ajaran-ajaran Al-Quran dengan penghayatan yang menyeluruh? Dan apakah strategi-strategi yang dapat kita aturkan bersama, demi membina sebuah masyarakat yang berteraskan Al-Quran, serta masyarakat yang menghayati Al-Quran? Dan yang paling penting, apakah strategi yang paling sesuai untuk diketengahkan terlebih dahulu berbandingkan aspek-aspek lain.
Contoh penghayatan Al-Quran yang kurang diketengahkan.
7 Aspek menerangkan sebuah ayat al-Quran dari perspektif motivasi kurang diketengahkan. Sebagai contoh firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Kahfi, ayat 2:
“قَيِّمًا لِيُنْذِرَ بَأْسًا شَدِيْدًا مِنْ لَدُنْهُ وَيُبَشِّرَ المُؤْمِنِيْنَ الَّذِيْنَ يَعْمَلُوْنَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا”
Yang bermaksud: “(Bahkan keadaannya) tersusun, teratur, bernilai (istimewa) untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisiAllah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.”
8 Dan firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Mulk, ayat 2:
“الَّذِي خَلَقَ المَوْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً، وَهُوَ العَزِيْزُ الغَفُوْرُ”
Yang bermaksud: “Dia lah yang telah menciptakan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”
9 Ayat 2 dari surah Al-Mulk menjelaskan penciptaan hidup dan mati bertujuan untuk menguji manusia, dan manusia itu diuji dari sudut “Siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya?”. Ayat ini juga menyatakan bahawa kehidupan di alam ini tidak akan sepi dari ujian dan cabaran. Maka terdapat cabaran dan cobaan tersendiri bagi setiap zaman. Di dalam menghadapi ujian dan menjalani liku-liku kehidupan, setiap insan amat perlu kepada motivasi. Ayat 2 dari surah Al-Kahf pula membicarakan tentang inzar, iaitu amaran bagi mereka yang ingkar, dan juga busyra iaitu berita baik bagi mereka yang beriman. Inzar dan busyra kedua-duanya mempunyai satu faktor yang sama, iaitu kedua-duanya bertujuan untuk memotivasi.
10 Inzar berfungsi sebagai motivasi untuk menggalakkan mereka yang inkar agar meninggalkan keingkaran mereka dan mula untuk mengerjakan amal-amal soleh, manakala busyra pula berfungsi sebagai motivasi untuk menggalakkan mereka yang mengerjakan amal-amal soleh agar sentiasa istiqamah atau konsisten dengan amalan mereka dan menambahkan lagi amalan itu atau memperbaikinya lagi.
11 Dalam menghasilkan amal yang baik bagi tujuan untuk mendapatkan ganjaran yang baik, manusia amat perlu kepada motivasi dan juga inspirasi. Kita perlu kepada inspirasi kerana ia memberikan kita ide tentang perkara baik dan sesuai untuk kita lakukan. Juga penekanan cara kita mengerjakannya dengan yang terbaik mungkin amat diperhatikan dalam penghayatan sebergini. Tidak dapat dinafikan juga peranan motivasi dalam memberikan tenaga untuk kita menghasilkan perkerjaan yang baik secara konsisten. Secara ringkas motivasi dan inspirasi merupakan di antara keperluan insan dalam menjalani kehidupan sehariannya, samada mereka bertugas sebagai, perniaga, jurutera, askar, doctor, suri rumah pelajar, ataupun pakar motivasi.
12 Namun motivasi dan inspirasi adalah satu aspek keistimewaan Al-Quran yang masih lagi belum terserlah disajikan untuk masyarakat kita. Walaupun terdapat beberapa buah buku yang telah dihasilkan yang menengahkan aspek ini, ia masih belum rancak diperbualkan oleh asatizah tempatan. Buktinya, sekiranya kita duduk bersama jemaah masjid yang kerap ke masjid, kita dapati bahawa keperihatinan mereka dalam memahami ayat-ayat Al-Quran lebih menjurus kepada hukum-hakam; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.
13 Sebagaimana yang telah disebutkan di awal kertas ini, hukum-hakam atau perundangan memang merupakan salah satu aspek keistimewaan Al-Quran . Al-Quran menjelaskan apa yang benar dan apa yang batil. Namun ia tidak terhad kepada aspek itu semata, dan kehidupan manusia juga tidak tertakluk kepada hukum-hakam semata.
14 Untuk hidup dan meneruskan kehidupan dalam keadaan yang baik manusia memerlukan kepada motivasi dan inspirasi. Oleh itu bagi membina sebuah masyarakat yang menghayati Al-Quran, masyarakat yang berteraskan Al-Quran, masyarakat yang akan mewariskan Al-Quran kepada generasi yang seterusnya, golongan asatizah perlu lebih rancak menengahkan Al-Quran dari pelbagai sudut dan aspek antaranya sudut motivasi dan inspirasi. Ini hanyalah sebuah contoh di antara banyak lagi aspek penghayatan Al-Quran yang belum lagi diperkenalkan kepada msyarakat Islam Singapura.
Cabaran Masa Kini
15 Namun sebagaimana lumrah kehidupan yang tidak sunyi dari cabaran. Kita juga bakal menghadapi beberapa cabaran dalam menerajui langkah ini. Diantara cabaran utama ialah:
- a. Jurang Bahasa
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ibrahim, ayat 4:
“وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُوْلٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ،”
Yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya spaya ia menjelaskan kepada mereka”
16 Cabaran dari sudut bahasa; memandangkan bahasa Arab atau bahasa Al-Quran bukanlah bahasa ibunda kita, kemahiran perlu dipertingkatkan dari segi pengetahuan ilmu bahasa Arab. Pengetahuan dari sudut mufradat, nahu, saraf dan tasrifat sahaja sudah tidak lagi mencukupi. Bagi mereka yang benar-benar tekun dalam meningkatkan kefahaman terhadap ayat-ayat suci Al-Quran sekurang-kurangnya perlu menawan ilmu balaghah dan qiraat ini adalah dari sudut tradisi ilmu bahasa. Tahap yang seterusnya ialah dari sudut ilmu sains bahasa yang membolehkan seseorang memahami ilmu neuro-linguistics, socio-linguistics dan functional translation. Universiti tempatan seperti NTU, khususnya departmen Linguistics and Multi-linguism Studies (LMS) ada menawarkan kursus-kursus sains bahasa ini.
17 Adapun pada peringkat pengajian di masjid-masjid, terdapat beberapa masjid yang memberikan tumpuan kepada Bahasa Arab seperti Masjid An-Nur, atau masjid yang memberikan tumpuan kepada pengajian Al-Quran itu sendiri seperti Masjid Kg Siglap yang lebih dikenali sebagai Darul Quran Singapura. Adapun masjid yang memberi penumpuan kepada ilmu Tafsir ialah seperti Masjid Al-Khair.
18 Walaupun terdapat usaha-usaha yang memberi penumpuan kepada pengajian dan penghayatan Al-Quran di sisi masyarakat, tidak dapat dinafikan bahawa usaha-usaha tersebut perlu dipertingkatkan agar ia dapat memberi kesan yang lebih mendalam kepada individu masyarakat Islam Singapura.
19 Sekiranya peningkatan dari sudut bahasa ini dapat dilaksanakan dan difahami, jurang antara bahasa dapat lagi dirapatkan. Perubahan dari sudut bahasa penyampaian dapat memberi kesan jangka masa panjang serta mampu memberi perubahan yang positif pada pemikiran. Hasilnya pemahaman masyarakat dapat lagi dipertingkatkan dan diperkasakan. Pemahaman yang mendalam ini pastinya memberi kesan kepada cara kehidupan masyarakat kita, masyarakat yang berteraskan Al-Quran, justeru mempunyai identiti yang jitu lantas mempunyai kepercayaan diri yang tinggi dalam mengharungi cabaran hidup dan ujian zaman.
- b. Penyelerasan Usaha
20 Terdapat pelbagai usaha yang telus telah dijalankan oleh pelbagai pihak, samada pada peringkat individu maupun organisasi. Usaha tersebut bertujuan untuk meningkatkan daya kefahaman serta penghayatan masyarakat terdapat al-Quran. Sebagai contoh masjid-masjid yang menumpukan perhatian pada pemikiran Islam semasa seperti Masjid Alkaff Kg Melayu, pemikir-pimikir Islam seperti Masjid En-Naeem, dan tamadun Islam seperti Masjid Asy-Syakirin juga mainkan peranan penting di dalam menonjolkan keisitimewaan Al-Quran dari sudut inspirasi dan motivasi.
21 Usaha-usaha tersebut perlu lebih dari hanya mengadakan ceramah-ceramah bulanan ataupun forum dan sebagainya, akan tetapi, kesan yang lebih mendalam mampu dilahirkan sekiranya tujuan dan objektif bagi setiap usaha yang dikendalikan di masjid-masjid dikenalpasti terlebih dahulu. Lalu usaha-usaha memertabatkan penghayatan Al-Quran dilaksanakan dengan teratur dan tersusun. Lalu dihasilkan beberapa sistem untuk mengukur keberkesanan setiap usaha yang dijalankan (performance indicator). Ini untuk menjamin bahawa usaha yang dilaksanakan benar-benar menyentuh kumpulan sasaran yang diingini (target group) lalu mencapai objektif yang diharapkan.
22 Madrasah-madrasah sepenuh masa dan pusat-pusat pendidikan yang memberikan khidmat pengajaran bahasa Arab dan ilmu agama Islam dan ilmu-ilmu Al-Quran juga boleh memainkan peranan mereka dalam memertabatkan penghayatan Al-Quran di sisi masyarakat Islam Singapura. Saya rasa, memang setiap di antara para hadirin dan hadirat telah melaksanakan usaha yang pelbagai, serta menjalankan amanah menyampaikan ilmu mengikut kemampuan masing-masing, namum persoalan yang perlu kita fikirkan bersama ialah: Bagaimana kita dapat meningkatkan kadar kefahaman Al-Quran di sisi masyarakat kita?
- c. Pengaruh Media
23 Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nahl, ayat 125:
“ادْعُ إِلىَ سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالحِكْمَةِ وَالمَوْعِظَةِ الحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمء بِالَّتِي هِيَ أَحْسَن”
Yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”
24 Tidak dapat dinafikan media merupakan sebuah entiti yang amat berpengaruh. Walaupun bentuknya berbeza dari satu zaman ke zaman yang lain, pengaruhnya tetap kuat pada setiap zaman. Kalau di zaman jahiliyah para penguasa menzahirkan kekhuatiran terhadap para penyair yang masyhur lantas membayar mereka dengan habuan yang amat lumayan untuk mengatakan apa yang membawa kepada kemanfataan peribadinya, di zaman ini ahli-ahli politik juga merasa tercabar dengan media baru, seperti facebook, youtube dan twitter, dan tidak kurangnya juga media lama seperti akhbar, tv dan radio.
25 Dakwah dan media, kedua-duanya menginginkan perkara yang sama dari masyarakat; ia adalah “perhatian”. Hanyasanya arah perhatian yang ditujukan oleh dakwah amat berbeza dengan arah perhatian yang ditujukan oleh media. Perbezaan arah perhatian ini menciptakan citarasa yang berbeza dikalangan masyarakat. Rancangan-rancangan yang disiarkan melalui radio dan tv dan waktu-waktu siarannya lebih menjelaskan fakta ini.
26 Pengaruh media massa kepada pemikiran masyarakat tidak dapat dinafikan lagi. Ia merupakan satu cabaran samada bagi individu maupun keluarga untuk menanamkan rasa cinta kepada Al-Quran ataupun meluangkan masa untuk menghayati Al-Quran sekiranya kebanyakkan dari masa lapangnya terluang dengan hiburan yang disediakan media massa.
27 Sekiranya kempen penghayatan Al-Quran boleh diperkenalkan kepada masyarakat dengan menggunakan media massa samada yang rasmi maupun tidak rasmi, ia dapat membantu menanamkan sifat kepedulian di dalam diri individu terhadap segala usaha yang berjalan.
Projek Percobaan; PengHAYATan Al-Quran Menyeluruh (Holistic)
28 Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisa’, ayat 82:
“أَفَلاَ يَتَدَبَّرُوْنَ القُرْءَانَ، وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوْا فِيْهِ اخْتِلاَفاً كَثِيْرًا”
`Yang bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
29 Usaha menyemarakkan cinta pada Al-Quran memang telah lama dimulakan di Singapura, dan melalui pelbagai program seperti kelas-kelas tajwid, tarannum, dan iqra’, serta halaqah-halaqah tafsir dan tadarrus Al-Quran. Pelbagai aktiviti juga diadakan untuk mencapai objektif ini, seperti pertandingan tarannum dan tahfiz Al-Quran. Namun, Masjid Alkaff Kg Melayu, yang menerajui peranan sebagai Pusat Pemikiran Islam Semasa kami merasakan bahawa usaha-usaha yang sedang dijalankan masih lagi memberi penumpuan pada tahap membaca dan menghafal kitab suci tersebut, iaitu tahap permulaan, dan bagi menyemarakkan lagi cinta pada Al-Quran sebuah usaha untuk menghayati Al-Quran menyuluruh (holistic) perlu dipertingkatkan.
30 Penghayatan Al-Quran yang menyeluruh memerlukan kita untuk membenamkan pemikiran dalam Al-Quran, dan menghayati serta menjiwai isi kandungan ayat-ayatnya yang suci, melepasi batas sebutan tajwid dan suara tarannum, inilah objektif yang perlu kita kongsi bersama demi kebaikkan masyarakat.
31 Maka pada bulan Ramadan yang lalu, seiring dengan Kempen Al-Quran besar-besaran, MAKM telah menjalankan sebuah projek percubaan demi merealisasikan objektif ini di kawasan Bedok Reservior dan Kaki Bukit.
32 Di awal Ramadan sebuah kumpulan facebook (facebook group) dan lelaman facebook (facebook page) yang diberi nama Al-Quran is our Life Coach! ditubuhkan. Ia bertujuan memberikan pengguna facebook satu platfrom untuk menikmati konsep-konsep Al-Quran dari perspektif motivasi dan inspirasi. Setakat ini sebanyak 18 dokumen tulisan bebas telah dapat dihasilkan.
33 Pada setiap hujung minggu pula klinik Al-Quran diadakan di MAKM, ia bermula dengan perbincangan beramai-ramai di ruang solat, mengenai kesalahan hukum-hakam tajwid yang sering kali dilakukan orang kebanyakan dan disertakan juga pengertian dan maksud potongan ayat yang sedang dibincangkan, kemudian diakhiri dengan pemeriksaan lisan bagi mereka yang berminat.
34 Klinik Al-Quran juga berfungsi sebagai pusat registrasi bagi mereka yang berminat untuk belajar Al-Quran, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila “Al-Quran mobile gallery” tiba di MAKM. Energi Al-Quran dapat lagi dirasakan bila mana pensyarah undangan pada hujung minggu memulakan syarahannya dengan bacaan Al-Quran yang berseni.
35 Dapatan dari bulan Ramadan memberi isyarat bahawasanya masyarakat amat berminat untuk mempelajari Al-Quran dan minat ini tidak terbatas kepada pembacaan dan sebutan semata. Maka dua program Al-Quran telah dilancarkan yang masih lagi sehingga ke hari ini mendapat sambutan yang amat memuaskan. Program pertama ialah program komprehensif iaitu Program PengHAYATan Al-Quran, ia dibahagikan kepada 40 minit perbahasaan tajwid dan makharij al-huruf, 40 minit permeriksaan sebutan satu demi satu, dan 40 minit tasawwur Al-Quran yang membahaskan ayat-ayat Al-Quran yang berunsur motivasi dan inspirasi.
36 Program kedua ialah program Bahasa Al-Quran iaitu program pertama di Singapura yang menggunakan pendekatan High Frequency Words di dalam pengajaran bahasa Al-Quran. Kedua-dua program ini mendapat sambutan yang amat baik dan masih lagi menerima kemasukan yang berterusan.
37 Sebagaimana yang telah dibicarakan di atas, program-program ini berada pada tahap percobaan bagi memperkenalkan kepada masyarakat satu tahap yang baru di dalam meraikan kecintaan kita kepada Al-Quran. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan segala saranan yang membina atau usaha sama dari mana-mana pihak, masjid maupun institusi dan persatuan demi menyemarakkan lagi usaha Penghayatan Al-Quran Menyeluruh pada lapisan masyarakat.
Peluang Masa Hadapan
38 Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Israa’, ayat 9:
“إِنَّ هَذَا القُرْءَانَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرَ المُؤْمِنِيْنَ الَّذِيْنَ يَعْمَلُوْن َالصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيْرًا”
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan bagi orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh ganjaran yang besar.”
39 Cabaran masakini tidak hadir dengan tangan yang kosong, ia juga membawa bersama peluang masa hadapan. Masyarakat yang mempunyai golongan asatizah yang prihatin juga bersikap proaktif, akan dapat mengharungi cabaran masakini dan meraih peluang di masa hadapan.
40 Dengan mengetengahkan keistimewaan Al-Quran pada beberapa aspek yang belum pernah diketengahkan, seperti dari aspek motivasi, dapat memberikan kepada masyarakat satu identiti kental. Identiti inilah yang bakal mengembalikan kepercayaan diri yang sangat diperlukan untuk menjadi khaira ummah.
41 Dengan menggunakan Tasawwur Islam atau Worldview sebagai mata pelajaran yang mengajak masyarakat menilai kembali tasawwur yang sedia ada dan memahami tasawwur Islam yang sebenarnya, masyarakat akan lebih mempunyai tahap kesedaran minda yang lebih tinggi dan tidak mudah melatah. Amat diharapkan agar dengan mengetengahkan konsep motivasi, inspirasi dan tasawwur dari Al-Quran, dapat mempertingkatkan tahap penghayatan dan kefahaman ayat-ayat suci Al-Quran di sisi masyarakat Islam Singapura.
42 Dengan harapan strategi ini dapat memupuk masyarakat yang bukan hanya membuka Al-Quran apabila ditimpa masalah atau musibah, yang bukan hanya membuka Al-Quran untuk mencari dalil-dalil hukum-hakam ilmu fiqeh atau aqidah; Malah diharapkan dapat membentuk masyarakat yang berteraskan Al-Quran sepanjang hayat, yang membaca, mengaji dan mengkaji Al-Quran bukan hanya di bulan Ramadan akan tetapi sepanjang tahun dan keadaan.
43 Apabila masyarakat dipupuk dengan semangat menghayati Al-Quran sepanjang hayat, masyarakat akan lebih bersedia menghadapi cabaran masa kini di peringkat individu dan masyarakat, dan meraih peluang di yang bakal diberikan pada masa hadapan. Dan diharapkan para asatizah dan golongan agamawan dapat menerajui langkah-langkah ke arah masyarakat yang berteraskan Al-Quran Sepanjang Hayat.
Ustaz Yazid Muhamad Salleh
Pegawai Eksekutif Dakwah (SIL)
Masjid Alkaff Kg Melayu